Saya adalah sebutir klip kertas. Nama saya Ahmad Klip Danial bin Stapler. Sebenarnya bapa saya bukan bernama Stapler. Dia cuma bapa angat saya sahaja. Oleh kerana waktu saya lahir itu orang masih jahil-jahil lagi, maka dia dan ibu angkat saya, Liquid Paper, telah mem'bin'kan saya begitu. Anak angkat tidak boleh di'bin'kan dengan bapa angkat. Haram hukumnya.

Ibu bapa angkat saya itu orang putih, sebab itu ejaan namanya begitu. Mereka orang putih, tapi saya tidak tahu dari mana. Sebab saya telah ditinggalkan oleh mereka itu semasa saya kecil. Sejak kecil saya telah dihantar untuk tinggal di dalam sebuah kotak biru, bersama kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa angkat yang lain. Bilangan kanak-kanak disini amat ramai, tidak boleh dibilang dengan jari, kerana kami semua tidak ada jari.

Walaupun nama saya Ahmad Klip Danial bin Stapler, tetapi orang lain selalunya memanggil saya dengan nama "Klip" sahaja, atau kadang-kadang "Klippy".

Sebenarnya kanak-kanak lain pun nama mereka "Klip" juga. Semasa kecil kami suka mempermain-mainkan nama masing-masing, antara satu sama lain, untuk mengisi masa lapang. Maklumlah, berada di dalam kotak itu memang membosankan. Kawan saya akan memanggil saya "Klepet", dan saya mengejek dia "Klupus". Walaupun kami tahu, kalau dia mengejek nama saya bermakna dia mengejek nama dia sendiri, tapi kami tetap lakukan juga. Sebab, mempunyai nama yang sama memang amat membosankan.

Kadang-kala, semasa kami bangun tidur, kami perasan ada beberapa orang kanak-kanak yang hilang. Orang kata mereka telah diculik di malam hari dan dipaksa membuat kerja yang berat, iaitu mengepit kertas. Saya tidak seperti mereka, saya tidak percaya cerita-cerita dongeng semacam itu.

Sehinggalah pada suatu malam, ia berlaku kepada saya. Ketika saya sedang nyenyak tidur, tiba-tiba saya terasa seperti diangkat. Bila saya membuka mata, rupa-rupanya saya berada di dalam tangan manusia. Mula-mula saya tidak tahu dia adalah manusia, sehinggalah dia memperkenalkan diri dia dengan berkata, "Hoi klip, aku ini manusia!". Saya hairan bagaimana dia boleh tahu nama saya.

Tiba-tiba, dia mencapai hujung kaki saya dan membengkokkannya! Kaki saya sekarang sudah jadi lurus, tidak bengkok lagi. Walaupun dia membengkokkan kaki saya sedemikian rupa, tetapi saya tidak berasa sakit, kerana saya tidak mempunyai hujung-hujung saraf yang peka kepada rasa sakit. Kemudian dia membengkongkan kaki saya lagi, di tempat yang lain pula. Aduh! Eh, terlupa, saya tidak boleh berasa sakit.

Kemudian, dengan berhati-hati, dia memasukkan saya ke dalam mulutnya, dan mengkorek-korek giginya dengan kaki saya. Dia ingin mengeluarkan cebisan daging yang tersekat pada giginya yang berlubang itu. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya. Dia berasa gembira. Saya pun tumpang gembira juga kerana telah dapat membantu orang untuk berasa gembira.

Namun begitu, setelah kejayaan itu dapat dikecapi, saya telah dibalingkan ke atas meja. Tersisih dan terbiar begitu sahaja. Malah saya kini sudah cacat, tidak lagi membengkok dengan cantik seperti dahulu. Beginilah nasib saya sekarang, tidak berguna lagi. Mungkin suatu hari nanti kalau ada daging yang melekat digiginya lagi, barulah dia akan teringat kepada saya. Setiap malam saya akan menangis dan berdoa agar hari bahagia itu berlaku...

- Aku bingung, apa penjodoh bilangan untuk klip kertas?